PahangGo kutip pendapatan RM800,000 sebulan

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - Aplikasi PahangGo yang diperkenalkan kerajaan Pahang sejak Ogos tahun lalu berjaya meraih kutipan pendapatan melebihi RM800,000 pada setiap bulan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kutipan sebanyak itu diraih melalui hasil kutipan cukai tanah, cukai pintu, bil utiliti, pembelian tambah nilai telefon, bayaran parkir, pembelian barangan secara dalam talian dan sebagainya yang ditawarkan menerusi aplikasi terbabit.

"Pendapatan ini dijangka meningkat dari tahun ke tahun selari dengan penggunaan internet yang semakin meningkat.

"Bila pendapatan semakin bertambah, ia dapat membantu kerajaan Pahang melaksanakan lebih banyak bantuan dan pembangunan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, aplikasi PahangGo banyak membantu kerajaan Pahang mencipta sumber pendapatan baharu melalui teknologi digital.

Jelasnya, ini menjadikan PahangGo aplikasi mobile pertama di Malaysia yang mempunyai fungsi berdasarkan semua gabungan berkenaan.

"Bagi saya, PahangGo adalah peneraju transformasi digital ekonomi bagi negeri Pahang dan kini aplikasi ini adalah landasan yang terbaik teknologi digital.

"Kita yakin PahangGo boleh meningkatkan lagi pendapatan kepada negeri Pahang menggunakan semua fasiliti seperti menara dan talian dinaik taraf kerana aplikasi ini boleh diakses ke kawasan luar bandar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, PahangGo merupakan aplikasi digital ekonomi negeri menggabungkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di setiap daerah, syarikat, institusi pengajian tinggi (IPT) serta maklumat berita di Pahang untuk ditawarkan kepada rakyat.

"Saya berharap semua agensi kerajaan, PBT, penghulu, ketua kampung yang terlibat lebih memahami tentang PahangGo dan dapat bersama-sama mengguna dan mempromosikan lagi PahangGo kepada penduduk di kawasan masing-masing.

"Semoga segala usaha yang dilaksanakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa dipermudahkan ALLAH SWT dalam mentadbir urus negeri Pahang dan membela nasib rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!