Polis Johor sedia berdepan sebarang kemungkinan

Ayob Khan menyampaikan cenderamata kepada orang ramai yang hadir di kaunter semakan dan bayaran saman IPD Pontian hari ini.
Ayob Khan menyampaikan cenderamata kepada orang ramai yang hadir di kaunter semakan dan bayaran saman IPD Pontian hari ini.
A
A
A

PONTIAN- Lebih 10,000 pegawai dan anggota polis di Johor diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi apa jua situasi termasuk kemungkinan perintah darurat dilaksanakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchy berkata, pihaknya juga bersedia mengatur aset sebagai persiapan bagi memastikan keadaan negeri ini stabil dan keamanan terus terjaga.

"Tentang perintah darurat, ia melibatkan kerajaan pusat sama ada Putrajaya atau Bukit Aman akan keluarkan. Setakat ini tiada kenyataan dikeluarkan.

"Polis Johor sentiasa bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan di mana dua hari lepas kita sudah melihat persediaan polis Johor termasuk aset dan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) atau Pasukan Gerakan Am (PGA) yang akan digunakan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat kaunter semakan dan bayaran saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

Ayob Khan turut menggesa agar orang ramai tidak cemas dengan apa juga keputusan yang akan diumumkan kerajaan Pusat kelak.

"Tidak perlu panik, kita bukan hendak berperang dan tiada ancaman luar, ini melibatkan isu politik.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, patuhi arahan yang dikeluarkan. Isu paling penting yang kita perlu tangani sekarang adalah wabak koronavirus (Covid- 19)," katanya.

Sejak semalam, timbul spekulasi satu mesyuarat khas diadakan dipercayai berhubung dengan rombakan Kabinet, namun sehingga kini tiada maklumat lanjut mengenai mesyuarat berkenaan.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet pagi semalam.

Difahamkan, Mesyuarat Khas Kabinet terbabit membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!