Pelan jangka masa sederhana-panjang tangani keresahan rakyat

Kenyataan bergambar Muhyiddin yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.c
Kenyataan bergambar Muhyiddin yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.c
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan keperluan mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga bagi menangani keresahan rakyat.

Perkara itu ditekankan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara sidang video berkenaan koronavirus (Covid-19) yang dipengerusikan beliau hari ini.

Menurut kenyataan yang dipaparkan di Facebook Muhyiddin, Perdana Menteri sedar keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik Covid-19 pada masa ini masih belum reda yang menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin tinggi.

Mengakui senario menguruskan Covid-19 sekarang sudah berubah, Muhyiddin mengajak semua ahli mesyuarat MKN untuk lebih fokus dalam usaha memerangi wabak itu serta membuktikan Malaysia pasti akan menang melawan pandemik tersebut.

“Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan.

“Setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat harian diadakan secara sidang video bermula sejak 7 Oktober lalu.

Malaysia mencatatkan 710 kes baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah terkumpul 24,514 kes dan terdapat 10 kematian direkodkan semalam menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 214 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!