Bekas pelajar SMK Jerangau kongsi kenangan tulis lirik lagu sekolah

Intan Shafariza bersama sijil penghargaan yang diterima pada 1997 ketika berada di Tingkatan Lima di SMK Jerangau, Dungun.
Perkongsian Intan Shafariza mendapat pelbagai reaksi dan menjadi perhatian netizen.
Intan Shafariza bersama sijil penghargaan yang diterima pada 1997 ketika berada di Tingkatan Lima di SMK Jerangau, Dungun. Perkongsian Intan Shafariza mendapat pelbagai reaksi dan menjadi perhatian netizen.
A
A
A

DUNGUN - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau, di sini berkongsi kenangan manisnya apabila lirik lagu sekolah yang ditulisnya 21 tahun lalu masih dialunkan sehingga hari ini.

Intan Shafariza Mohd Shariff, 37, berkata, beliau juga tidak menyangka perkongsian kejayaan penuh makna itu di media sosial mendapat perhatian netizen.

"Pada saya ini antara kejayaan manis yang saya tidak boleh lupakan. Saya juga tak sangka perkongsian di media sosial mendapat ratusan tanda 'suka' oleh pengguna media sosial.

"Saya bersyukur kerana sedikit sumbangan saya ini memberi 1,001 makna dan dapat menyuntik semangat kepada para pelajar di SMK Jerangau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, beliau mengambil masa selama dua jam untuk mendapat ilham bagi menghasilkan lagu bertajuk Anak Wawasan ketika beliau berada di Tingkatan Empat pada 1999.

Katanya, beliau menjadi antara kumpulan pertama yang memasuki sekolah itu selepas mula beroperasi pada 1996.

"Waktu itu sekolah saya tiada lagu rasmi. Jadi, pada 1999 cikgu ada tanya siapa yang berminat untuk masuk pertandingan cipta lirik dan lagu sekolah.

"Saya memang berminat jadi balik sahaja dari sekolah, masuk bilik saya terus berusaha hasilkan lirik yang terbaik dan adik saya, Amirul Firdaus yang ketika itu berusia 10 tahun menjadi orang pertama mendengar alunan lirik lagu tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Lepas habis dengar dia secara spontan beritahu, sedaplah lagu ni Long," katanya yang kini bekerja sebagai penjawat awam di Melaka.

Anak sulung dari enam beradik yang berasal dari Kampung Tanjung, Jerangau itu berkata, setiap kali pulang ke kampung halaman dan melalui kawasan sekolah, beliau akan mengimbau kembali pengalaman manis itu.

"Setiap kali pulang ke kampung dan melalui kawasan sekolah, saya akan teringat kenangan dan kejayaan mencipta lirik lagu yang terus kekal dinyanyikan hingga ke hari ini.

"Mungkin bagi orang lain ia bukanlah satu kejayaan besar namun ia begitu bermakna buat saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!