Kerajaan fikirkanlah kesusahan rakyat, kata Najib
SHAH ALAM - Ketika isu darurat pentadbiran yang dicadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang hangat diperdebatkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta supaya kerajaan memikirkan kesusahan yang dihadapi rakyat ketika ini.
Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkongsi suasana di kebanyakan tempat perniagaan yang sunyi tanpa pengunjung.
"Kedai-kedai sunyi dan kosong. Gerai-gerai sunyi dan kosong. Pusat beli barang sunyi dan kosong. Pejabat-pejabat sunyi dan kosong.
"Dengarlah apa yang rakyat kata. Fikirkanlah kehidupan rakyat. Susah. Susah," tulisnya.
Terdahulu, hantaran yang dimuat naik kira-kira dua jam lalu itu mendapat lebih 22,000 tanda suka dan lebih 1,000 komen.
Semalam, Kabinet dilaporkan bersetuju dengan pelaksanaan darurat bagi menangani penularan Covid-19 selepas perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Kabinet dipengerusikan Muhyiddin di Putrajaya.
Muhyiddin dilaporkan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang petang semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!