Nur Jazlan dakwa Menteri Dalam Negeri tidak cekap
JOHOR BAHRU - Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak cekap menjalankan tugas sehingga menyebabkan situasi penularan pandemik koronavirus (Covid-19) bertambah teruk khususnya jangkitan yang berlaku terhadap penghuni penjara di seluruh negara.
Nur Jazlan berkata, kesesakan dalam penjara dan kelemahan pengurusan oleh kementerian menyebabkan virus Covid-19 dengan mudah tersebar ke beberapa pusat tahanan sehingga dikategorikan sebagai zon merah.
“Saya melihat punca jangkitan serius pesakit Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara berpunca daripada kelemahan pengurusan di pihak kementerian, terutamanya Menteri KDN (Keselamatan Dalam Negeri) sendiri.
“Jika menteri memberi keutamaan tanggungjawab kepada membendung penularan wabak dengan memfokuskan kepada isu kesesakan serta pengurusan penghuni penjara, saya percaya pandemik Covid-19 ini dapat dikawal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor turut menasihatkan Hamzah supaya mengurangkan berpolitik sebaliknya menumpukan kepada usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara serta pusat tahanan lain.
Beliau mendakwa, sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Hamzah dilihat sibuk membuat percaturan politik, malah ketika gelombang ketiga Covid-19 melanda negara, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu masih leka melayan polemik politik negara.
“Dalam situasi kritikal ketika ini, pihak berkuasa mesti memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di penjara dan menjalankan ujian saringan berkala ke atas banduan serta kakitangan di pusat berkenaan supaya penularan wabak dapat dibendung dari awal.
"Inilah masalah apabila kerajaan tidak stabil dan pelantikan menteri yang tidak cekap. Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri KDN ketika kerajaan PH memberi tunjuk ajar kepada Hamzah macam mana nak buat kerja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!