Penuntut hidap kanser dapat perhatian MAIK
MACHANG - Kisah penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Abdul Halim Mat Hassan, 25 yang bergantung hidup kepada susu khas akibat kanser sehingga terpaksa menangguhkan pengajian mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
MAIK yang diketuai Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi meluangkan masa menziarahi Abdul Halim dan keluarga di Kampung Kok Kiak, dekat sini seterusnya menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga itu.
Nik Mohd Azlan berkata, sumbangan tersebut bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan keluarga Abdul Halim khususnya untuk kos susu khas yang diperlukannya.
Katanya, MAIK akan mengikuti perkembangan kesihatan Abdul Halim dan sekiranya memerlukan pembedahan, pihaknya sedia mempertimbangkan untuk menampung kos pembedahan itu.
"Saya difahamkan, kemungkinan Abdul Halim perlu menjalani pembedahan jika kesihatannya tidak bertambah baik. MAIK akan membantu Abdul Halim sesuai dengan perkembangan kesihatannya dari masa ke masa.
"Kunjungan dan sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab MAIK untuk membantu golongan yang memerlukan. MAIK sentiasa bersama rakyat dan bersedia menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan mengikut kemampuan bagi meringankan beban mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!