Latar simpati insiden juruteknik langgar bangkai babi
KUALA SELANGOR - Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar) bersimpati dengan kejadian menimpa seorang juruteknik yang terlanggar bangkai babi di atas jalan di Kilometer 4.4 lebuh raya itu pagi semalam.
Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, kakitangan Peronda Lebuhraya Latar, Expressway Patrolling and Emergency Response Team (EXPERT) bergegas ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan awal sebelum ketibaan ambulans.
"Penunggang motosikal tersebut telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan segera," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ahmad Fuad memaklumkan bahawa Latar sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan penggunanya termasuk membelanjakan ratusan ribu ringgit setahun hanya untuk membaiki pagar yang telah dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.
"Antara inisiatif keselamatan yang telah kami laksanakan seperti membina pagar di sepanjang lebuh raya untuk mengelakkan haiwan liar daripada memasuki kawasan lebuh raya," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya turut berdepan cabaran bagi memastikan pagar yang dipasang itu sentiasa berada dalam keadaan baik apabila ada segelintir individu merosakkan pagar tersebut demi kepentingan peribadi mereka.
"Pihak Latar berasa amat kesal kerana tindakan ini bukan sahaja tidak bermoral malah turut membahayakan keselamatan pengguna-pengguna lain.
"Justeru, kami amat berharap agar individu terbabit sedar dan tidak lagi melakukan kerosakan pagar di sepanjang Lebuhraya Latar demi keselamatan pengguna lebuh raya ini," katanya.
Mengulas cadangan pemasangan lampu jalan di lokasi tersebut, Ahmad Fuad menjelaskan bahawa cadangan itu masih di peringkat pertimbangan dan mengambil maklum berhubung perkara itu.
"LATAR juga ingin menasihatkan kepada pengguna lebuh raya supaya berhati-hati ketika memandu dan patuhi had laju lebuh raya yang dibenarkan," katanya.
Semalam Sinar Harian melaporkan, seorang juruteknik, Mohamad Azharil Mohamad Anim, 26, mengalami kecederaan pada bahagian dagu, patah gigi dan luka tangan serta kaki selepas motosikal ditunggangnya terlanggar bangkai babi di atas jalan di Kilometer 4.4 lebuh raya itu ketika perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Kuang ke rumahnya di Kampung Bukit Cherakah pagi semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Juruteknik cedera langgar bangkai babi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!