Dua sekolah di Kota Setar ditutup
ALOR SETAR - Dua buah sekolah di daerah Kota Setar ditutup mulai esok sehingga Sabtu berikutan dakwaan ada penularan virus koronavirus (Covid-19) dalam kalangan warga sekolah.
Melalui pekeliling dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bertarikh hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Mohamad Al-Bukhary diarahkan tutup selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Oktober ini.
SMK Sultanah Bahiyah turut didakwa ditutup semula susulan terdapat kes jangkitan Covid-19 untuk tempoh sama selama seminggu selepas dibuka minggu lepas.
Menurutnya, penutupan berkenaan dilaksana demi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan.
"Kementerian Pendidikan memaklumkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 memutuskan mana-mana sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup selama tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko KKM.
"Sehubungan itu, memandangkan sekolah disahkan memiliki kes jangkitan Covid-19 melibatkan murid atau guru atau anggota kumpulan pengurusan, maka sekolah diarah tutup mulai 25 hingga 31 Oktober,"katanya.
Katanya, guru dikehendaki bekerja dari rumah serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kesesuaian mengikut keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!