Jangan heret rakyat ke dalam darurat

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Amanah Negara (Amanah) Johor meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengheret negara dan rakyat ke dalam kancah darurat hanya kerana survival politiknya.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, cadangan itu dilihat mementingkan diri dan beliau percaya rakyat juga akan menolak kerana kesannya amat besar terutama dalam kehidupan harian.

"Tiada alasan kukuh untuk melakukan darurat di negara ini. Sekiranya berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan dan beliau bimbang belanjawan itu tidak diluluskan, itu bermakna beliau sendiri yakin yang dirinya telah hilang majoriti.

"Cara yang terbaik adalah melepaskan jawatan dan bukan mengheret negara dan rakyat yang semakin tertekan daripada terjerumus dalam kancah darurat di negara yang aman ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Muhyiddin tidak sewajarnya menjadikan Covid-19 sebagai satu alasan dan maklum balas rakyat berhubung cadangan tersebut dapat dilihat dalam media sosial.

"Semalam terus tular slogan 'Muhyiddin Out' di Twitter dan beberapa media sosial yang lain. Itu menandakan rakyat sedar kesannya terhadap ekonomi, sosial dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan kehidupan mereka," katanya.

Katanya, selain itu pengisytiharan darurat berkemungkinan besar menjejaskan keyakinan pelabur asing dan memberi kesan kepada ekonomi sekali gus menyebabkan rakyat bertambah terbeban.

"Pelbagai langkah lain yang berkesan untuk mengawal penyakit ini tetapi tidak kurang memberi kesan terhadap ekonomi boleh dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 mempunyai peruntukan mencukupi bagi menyediakan langkah pencegahan penyebaran Covid-19 termasuk kuasa untuk membuat peraturan, kawalan pergerakan orang ramai dan menggerakkan pasukan bersenjata," katanya.

Aminolhuda berkata, langkah berkenaan sudah dilaksanakan semasa gelombang pertama dan terbukti berkesan.

"Tiada sebarang pelanggaran undang-undang dilakukan rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti demonstrasi jalanan atau huru-hara yang memerlukan darurat dilaksanakan.

"Amanah menolak perkara ini sekeras-kerasnya kerana darurat yang dicadangkan tersebut adalah lebih kepada cubaan Muhyiddin untuk menyelamatkan kedudukan kuasanya dari sebarang ancaman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!