Sudan terpedaya pujukan AS

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo (kiri) dan Penasihat Kanan Rumah Putih, Jared Kushner bertepuk tangan ketika Trump menghubungi pemimpin Sudan dan Israel untuk bercakap tentang perjanjian damai tersebut semalam. - Foto: Agensi
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo (kiri) dan Penasihat Kanan Rumah Putih, Jared Kushner bertepuk tangan ketika Trump menghubungi pemimpin Sudan dan Israel untuk bercakap tentang perjanjian damai tersebut semalam. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Sudan akhirnya termakan 'pujuk rayu' Amerika Syarikat (AS) untuk menormalkan hubungan dengan Israel selepas dua negara Teluk mengambil langkah kontroversi sama yang dikecam negara antarabangsa dan jelas satu tindakan tikam belakang ke atas Palestin.

Semalam, Presiden Donald Trump mengumumkan Khartoum akur untuk 'berbaik' dengan Tel Aviv di bawah Perjanjian Abaraham selepas pentadbirannya mengeluarkan Sudan daripada senarai negara penaja keganasan sejak 1993.

Perkara itu turut disahkan Judd Deere yang merupakan pembantu Trump selepas pemimpin tersebut memeterai perjanjian tersebut bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok serta Ketua Majlis Peralihan, Abdel Fattah Al-Burhan melalui panggilan telefon.

Di bawah perjanjian itu, Khartoum juga telah mendepositkan AS$335 juta (RM1.4 bilion) sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membayar pampasan kepada mangsa dan waris keluarga serangan ganas al-Qaeda yang bermaharajalela ketika di bawah pentadbiran bekas pemimpin diktator, Omar Al-Bashir.

Trump yang sedang berusaha untuk mengekalkan jawatannya di Rumah Putih dengan menguar-uarkan kejayaan dasar luar beliau itu memaklumkan lima lagi negara Arab bakal memeterai Perjanjian Abraham tersebut.

Terdahulu, Parti Kebangsaan Umma (NUP) menolak sebarang langkah untuk menormalkan hubungan dengan Israel malah ia memberi amaran blok terbabit akan menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan peralihan jika perkara sedemikian berlaku.

Sebelum ini, media AS pernah mendedahkan Khartoum ditawarkan sejumlah besar bantuan tunai oleh Washington sebagai pertukaran bagi menjalinkan hubungan dengan Tel Aviv.

Pada Ogos lalu, Hamdok pernah menyatakan kerajaan sementara pimpinannya tidak mempunyai mandat untuk menormalkan hubungan dengan Israel dan langkah seumpama itu hanya akan berlaku selepas tempoh peralihan pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Kementerian Luar Sudan, Haider Badawi juga dipecat gara-gara mengeluarkan kenyataan kononnya Khartoum bersetuju dengan perjanjian damai dengan Israel. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!