KKM pertimbang pesakit berisiko rendah dirawat di rumah

Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbang untuk membenarkan pesakit Covid-19 berisiko rendah menjalani rawatan di rumah.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah tersebut merujuk kepada pesakit positif Covid-19 tidak bergejala, namun perkara itu belum dilaksanakan kerana setakat ini bilangan katil di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah masih mencukupi untuk merawat pesakit berisiko rendah.

Menurutnya, jika kaedah itu mahu dilaksanakan ia perlu mengambil kira kesesuaian ruang kuarantin di rumah pesakit.

"Kita boleh pertimbangkan mereka (pesakit Covid-19) untuk kuarantin (menjalani rawatan) di rumah iaitu melibatkan kes positif tidak bergejala untuk kuarantin di rumah.

"Tetapi perlu dilihat kepada keadaan ruang di rumah yang bersesuaian baru boleh dibenarkan. Bagaimanapun, ketika ini tiada keperluan lagi (rawatan kes positif di rumah)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini kemudahan KKM masih berkemampuan untuk merawat pesakit Covid-19 kerana walaupun kes harian meningkat, namun ia diseimbangkan dengan kes discaj yang tinggi setiap hari.

Dalam pada itu, katanya terdapat 1,123 katil di sembilan hospital bagi rawatan Covid-19 di Sabah dan penggunaannya 70 peratus manakala di pusat kuarantin berisiko rendah pula 4,730 katil (30 peratus penggunaan ketika ini).

Sementara itu, berikutan desas-desus bahawa pesakit peringkat awal dirawat di rumah di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, rawatan di rumah adalah antara pilihan yang perlu dipertimbangkan KKM tetapi masih belum dapat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan bahawa apabila seseorang mengambil ujian swab, individu itu akan dinasihatkan supaya tinggal di rumah sementara menunggu keputusan ujian dalam tiga atau empat hari.

“Jadi, setelah keputusannya diperoleh pada hari kelima, kami membawa mereka ke hospital. Rawatan di hospital, pada mulanya mengambil masa 14 hari, tetapi sekarang kami mengurangkannya menjadi 10 hari, mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Oleh itu, semasa di rumah, ia seolah-olah kita mengendalikan mereka sebagai positif, dengan hari pertama bermula dari hari mereka mengambil ujian swab," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!