Jangan derhaka kepada ibu
TANGAN yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan seorang ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia. Seorang ibu yang mendidik anaknya akan menghasilkan anak yang gah di mata dunia sehingga boleh mencorakkan dunia. Peranan itu amat imperatif dalam membentuk keamanan dan keharmonian dunia.
Walaupun ibu mempunyai peranan yang besar, namun peranan ibu sering dipinggirkan, malah adakala langsung tidak dihiraukan oleh anak-anaknya sendiri. Segala jasa dan pengorbanan ibu begitu mudah dinafikan. Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh melahirkan dan membesarkan 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang ibu.
Ironi itu memang jelas kerana anak-anak atas kesibukan kerja tidak ‘mampu’ menjaga si ibu tua lagi. Pelbagai alasan diberikan. Lazimnya apa yang berlaku adalah kesibukan bekerja menggoyah institusi keluarga dan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak-anaknya.
Mempertahankan institusi keluarga amat penting kerana ia mempunyai impak besar kepada pembangunan negara. Jika punah institusi keluarga, maka akan hancur juga masa depan negara.
Dalam al-Quran ayat 23-24 surah Al-Isra yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika salah seorang atau kedua-duanya sekali telah tua, maka janganlah kamu berkata kepada mereka oh dan janganlah kamu menengking mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia, dan hendaklah kamu merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang.”
Ibu bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak-anak terutama apabila ibu atau bapa tidak berupaya lagi menyara hidup mereka sendiri. Begitu juga ibu atau bapa yang sakit memerlukan perhatian daripada anak-anak. Sebenarnya waktu itulah peluang diberikan ALLAH kepada anak untuk membalas jasa orang tua.
Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: “ Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuan) dan tempoh menceraikan susu adalah selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu dan (ingatlah) kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Rumah jagaan
Budaya sesetengah golongan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua pula bukanlah norma dalam masyarakat Melayu Islam. Biar apa pun alasan diberikan, tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak-anak.
Tiada yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak sehingga mereka berjaya di dunia. Kejayaan di dunia pula seharusnya dijadikan jambatan kepada kejayaan di akhirat kelak.
Keperluan duniawi dan ukhrawi perlu diseimbangkan supaya neraca kejayaan nanti benar-benar membuahkan kecemerlangan dunia dan akhirat.
Sementara ibu bapa masih lagi ada, berilah khidmat yang terbaik kepada mereka agar suatu hari kelak kamu tidak menyesal tidak dapat lagi membantu mereka. Sebelum terlambat, gunakanlah ruang dan peluang yang ada bagi menebus segala kesilapan yang telah dilakukan.
Kisah legenda Si Tanggang yang disumpah oleh ibunya menjadi batu kerana kederhakaannya sudah cukup menjadi sempadan buat kita semua. Masih terdapat ramai ‘Si Tanggang moden’ yang muncul pada masa kini. Hanya kerana mengejar kekayaan dan harta di kota, ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dijenguk walau seketika.
Makan minum dan sakit peritnya langsung tidak diambil perhatian oleh sesetengah anak-anak yang begitu lena dengan kelunakan kehidupan kota.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!