Sambung PKPB di Lembah Klang jika Covid-19 terus naik
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang tamat pada 27 Oktober ini jika kes koronavirus (Covid-19) terus meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini kementerian sedang memantau data kes setiap hari bagi melihat sama ada PKPB di negeri berkenaan perlu disambung.
"Data itu akan kita sebarkan, masing-masing kita (akan) tahu sama ada perlu sambung (PKPB) atau tidak. Tetapi yang nyata pada hari ini kes semakin meningkat.
"Hari ini terdapat 76 kes baharu Covid-19 di Selangor menjadikan jumlah keseluruhan 3,880 kes," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.
Menurutnya, negeri itu mencatatkan kenaikan 1,279 kes positif dalam tempoh 14 hari berbanding pada 11 Oktober lalu yang hanya merekodkan 26 kes baharu dengan jumlah kumulatif 2,601 kes.
"Kenaikan kes juga mengakibatkan jumlah zon merah di negeri Selangor meningkat daripada dua kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari. Tiga lagi daerah yang juga zon merah ialah daerah Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
"Kenaikan paling ketara adalah dalam daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes). Peningkatan kes penularan tempatan di dalam Selangor mula dilihat pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini," katanya.
Katanya, penularan Covid-19 di Selangor dalam gelombang ketiga pada mulanya hanya melibatkan kes yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah melibatkan sembilan kluster, namun kemudian berlaku penularan tempatan melibatkan 35 kluster aktif.
"Mulai 11 Oktober, penularan tempatan di Selangor mula mengakibatkan kluster berkaitan tempat kerja dan setakat ini enam kluster dikesan di Selangor," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, majikan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan kepada pekerja yang dibenarkan bekerja dari rumah tetapi tidak menjalankan tugas diberikan kerana keluar melakukan aktiviti sosial seperti bersiar-siar dan membeli-belah.
“Contohnya saya berpengalaman duduk di rumah untuk tempoh 14 hari. Pada awalnya mungkin saya rasa duduk rumah tidak banyak kerja tetapi untuk tempoh 14 hari, saya rasa saya kerja 14 hari.
“Pukul 8 pagi saya mesyuarat sampai pukul 2 atau 3 (petang), pukul 5 petang Facebook live (siaran langsung sidang media ), lepas pukul 5 petang update (kemas kini) informasi di dalam sosial media sampai pukul 8 atau 9 malam, tiap-tiap hari untuk 14 hari. Tiada masa untuk keluar rumah sebab kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI),“ katanya.
Menurutnya, tujuan utama bekerja dari rumah supaya lebih ramai duduk di rumah, mengurangkan pergerakan masyarakat dan kebolehjangkitan virus di dalam kawasan PKPB.
Beliau juga memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi ketetapan itu kerana ia akan membantu mengurangkan risiko penularan di kawasan tempat kerja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!