Konflik Nagorno-Karabakh 2.0
POLITIK di Kaukakus Selatan kembali bergolak apabila berlaku pertempuran antara tentera Azerbaijan dan Armenia pada 27 September 2020 berhubung Nagorno-Karabakh yang kini diduduki tentera Armenia sejak 1993. Padahal dari segi sejarah, Nagorno-Karabakh merupakan sebahagian daripada Azerbaijan.
Kedua-dua negara telah mencapai kemerdekaan setelah kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Namun, sejurus mencapai kemerdekaan, nasionalis Armenia yang menetap di Nagorno-Karabagh telah mengambil kesempatan mengisytiharkan pemisahan daripada pemerintahan Azerbaijan. Kumpulan pemisah Armenia mendapat sokongan kerajaan Armenia dengan menghantar tenteranya menduduki Nagorno-Karabakh dan menguasai 20 peratus wilayah Azerbaijan di sekitarnya.
Bagaimanapun, Azerbaijan terus mempertahankan kawasan itu sebagai wilayah kedaulatannya. Usaha untuk menguasai Nagorno-Karabakh telah menyebabkan perang meletus antara Armenia dan Azerbaijan sehingga menyebabkan kira-kira 30,000 orang terkorban dan ratusan ribu pelarian. Genjatan senjata telah dilancarkan pada 1994. Kumpulan Minsk dibentuk pada tahun 1994 untuk mencari perdamaian dan menyelesai konflik Azerbaijan-Armenia berhubung pertikaian Nagorno-Karabakh.
Rundingan damai telah diadakan, misalnya di Madrid, Sepanyol pada tahun 2009. Beberapa persetujuan telah dicapai yang dikenali sebagai Madrid Principles dan antara yang termaktub adalah pengembalian Nagorno-Karabakh serta wilayah sekitarnya kepada Azerbaijan, memastikan keselamatan Nagorno-Karabakh terjamin, mewujudkan koridor yang menghubungkan Armenia ke Nagorno-Karabakh, mengenal pasti hak penentuan masa depan bagi penduduk Nagorno-Karabakh, mengenal pasti status Nagorno-Karabakh dari segi undang-undang, menjaga hak semua mangsa pelarian supaya mereka boleh kembali ke tanah air masing-masing secara selamat dan jaminan keselamatan oleh masyarakat antarabangsa melalui operasi pengaman.
Persoalannya, mengapa konflik Nagorno-Karabakh 2.0 berlaku? Kegagalan organisasi antarabangsa seperti Kumpulan Minsk, Kesatuan Eropah termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan pertikaian Nagorno-Karabakh secara adil adalah punca utama konflik meletus.
Sebenarnya Kumpulan Minsk hanya mampu menganjurkan gencatan senjata tetapi masalah pertikaian wilayah tetap tidak dapat diselesaikan.
Pada peringkat awal, kerajaan Azerbaijan telah menaruh harapan kepada usaha Kumpulan Minsk, misalnya Madrid Principles mampu membantu mengembalikan Nagorno-Karabakh kepadanya. Namun, tidak semua pihak benar-benar ikhlas dan adil memberi kerjasama, misalnya Perancis telah memihak kepada pihak Armenia. Walaupun, Perancis merupakan anggota dalam Kumpulan Minsks tetapi ia tidak mempamerkan sikap berkecuali.
Rusia dan Armenia merupakan anggota dalam pakatan ketenteraan Collective Security Treaty Organization (CSTO) dan ahli dalam Eurasian Economic Union (EEU). Sebagai anggota CSTO, Rusia mempunyai pengkalan tentera di Armenia. Rusia dan Armenia sering mengadakan latihan ketenteraan bersama, malah pasukan tentera Armenia dibekal dengan persenjataan yang canggih dari Rusia. Ia menimbulkan rasa kurang senang dan keraguan oleh Azerbaijan tentang sejauh mana Rusia berkecuali.
Azerbaijan mendapat sokongan daripada sekutunya, Turki. Sejak kebelakangan ini, Azerbaijan telah membeli persenjataan moden dari Turki bagi mengimbangi kuasa Armenia. Pada masa kini, Azerbaijan masih mempunyai hubungan mesra dengan Rusia tetapi jika Rusia masih terus menyokong Armenia, ada kemungkinan Azerbaijan yang mengurangkan hubungannya dengan Rusia, sebaliknya meningkatkan hubungan dengan Turki.
Selain itu, timbul provokasi daripada pemimpin Armenia sehingga ramai penduduk Azerbaijan marah dan kecewa terhadap ketidakmampuan organisasi antrabangsa bertindak. Misalnya, pada tahun 2019 ketika Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan melawat Nagorno-Karabakh, beliau telah berkata, Artsakh (ibu negeri Nagorno-Karabakh) milik Armenia.
Sejak pertengahan 2020 telah dilaporkan pertempuran tentera di sempadan Armenia-Azerbaijan. Kini, Armenia sedang menghadapi kemelesetan ekonomi dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Amernia semakin meningkat.
Amat menyedihkan apabila penduduk kedua-dua pihak, Azerbaijan dan Armenia menjadi mangsa serangan. Kerajaan Armenia telah mendakwa Azerbaijan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Stepanakert, ibu kota Nagorno-Karabakh. Azerbaijan menafikan pihaknya menyerang orang awam dan menyalahkan pasukan tentera Armenia kerana menyerang bandar Azeri di luar Nagorno-Karabakh.
Ganja iaitu bandar raya Azerbaijan yang kedua terbesar menjadi sasaran serangan peluru berpandu dari Armenia sehingga ramai orang awam terbunuh.
Namun, pihak Armenia telah menafinya dan menyatakan serangan tertumpu pada pengkalan tentera Azerbaijan.
Diharap masyarakat antarabangsa, khasnya PBB akan benar-benar bertindak dengan tegas agar konflik Nagorno-Karabakh 2.0 akan dihentikan dengan segera dan memastikan Madrid Principles dihormati oleh semua pihak.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!