Bayaran fasa pertama BPN 2.0 bermula awal dari dijadualkan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang dijadualkan pada 26 Oktober ini dipercepatkan kepada 19 Oktober lalu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembayaran BPN 2.0 fasa pertama itu dapat dipercepatkan berikutan komitmen dan usaha pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan institusi kewangan yang terlibat.

"Pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40 melibatkan 7.5 juta penerima iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.

"Golongan M40 pula yang melibatkan 3.1 juta penerima iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, pembayaran bermula pada 22 Oktober," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 itu akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Menurut kenyataan itu, penerima yang tidak mempunyai akaun bank boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober ini, manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November 2020.

Kenyataan itu menambah bagi negeri-negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.

"Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November ini. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada bulan Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!