Kloop selar pengadil
Pengendali Liverpool Jurgen Klopp menyelar keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada Sheffield United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, semalam.
Klopp berkata, penalti berkenaan tidak sewajarnya diberikan kepada skuad The Blades itu berikutan tidak ada berlaku sebarang kekasaran dalam kotak penalti skuad The Reds itu sebagaimana yang didakwa pengadil.
Bagaimanapun menurut Klopp, dia tetap berbangga apabila menyaksikan skuad kendaliannya itu berjaya bangkit untuk menewaskan pelawat 2-1.
“Ia ternyata bukan satu kekasaran dan mereka (Sheffield United) tidak seharusnya diberikan sepakan penalti.
“Ia jelas satu keputusan yang tidak adil buat kami, tetapi kami berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Sheffield United membuka jaringan apabila bintang Norway Sander Berge menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13 setelah pertahanan Liverpool Fabinho dikatakan mengasari Oli McBurnie.
Bagaimanapun Roberto Firmino menyamakan kedudukan pada minit ke-41 sebelum Diogo Jota menanduk masuk gol kedua The Reds pada minit ke-64.
Terdahulu jaringan penyerang Mesir, Mohamed Salah pada minit ke-63 dibatalkan pengadil perlawanan setelah mendakwa Salah berada pada posisi ofsaid.
Sementara itu Klopp mengakui pihaknya berdepan kesukaran berdepan Sheffield United kerana skuad The Blades itu dilihat mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.
Malah katanya, skuad kendalian Chris Wilder itu juga sentiasa menghadirkan ancaman ke gawang Liverpool biarpun ketinggalan 1-2.
“Perlawanan ini memang sukar seperti yang kita jangkakan dan kita lega kerana dapat meraih kemenangan.
“Mereka (Sheffield United) dilihat tidak mudah menyerah kalah dan itu mengkagumkan saya. Mereka terus-terusan mengasak dan bagi saya Chris (Wilder) telah melakukan tugasan dengan baik membimbing mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!