Staf MRT positif Covid-19
KUALA LUMPUR - Rapid Rail memaklumkan seorang kakitangan operasi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini berkata, kakitangan berkenaan yang bekerja sebagai pengendali tren atau ‘transit officer’ bertugas buat kali terakhir pada Rabu lalu.
Menurut kenyataan itu, Rapid Rail yang menjadi operator untuk MRT laluan Kajang telah melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf berkenaan malam tadi.
"Selain itu, semua kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diminta untuk menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan tentang langkah-langkah yang telah diambil," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan semua perkhidmatan pengangkutan awam lain kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, Bas Rapid Transit dan bas henti-henti adalah selamat digunakan.
"Pihak pengurusan dan kakitangan Prasarana khususnya di Rapid Rail dan Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan dan sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM.
“Pengguna diingatkan supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren, " katanya.
Katanya, langkah tersebut penting untuk memutuskan rantaian penularan wabak dan memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif.
"Pihak kami komited menjalankan langkah-langkah yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan penumpang dan juga kakitangan,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!