Bekas tentera diperintah bela diri
SEREMBAN - Seorang bekas tentera diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan menjadi orang tengah menawarkan aktiviti persundalan tahun lalu.
Hakim, Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada keputusan akhir kes pendakwaan.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh Muhamad Nizam Aripen, 37, untuk membela diri pada 1 dan 2 April depan yang mana dia memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah .
Mengikut pertuduhan, Muhamad Nizam yang merupakan bekas anggota tentera di Port Dickson telah bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan dua wanita berusia 21 dan 24 tahun.
Perbuatan itu dilakukan pada 20 Januari 2018 jam 12.05 tengah malam, di sebuah hotel di Taman AST, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dengan sebatan dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat, manakala tertuduh diwakili M.Haresh dan Aida Syafinaz Zainuddin.
Sementara itu tertuduh dihadapkan ke mahkamah pertama kali pada 20 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!