Mujur perasan ular sawa atas rak kasut
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki terselamat daripada diserang seekor ular sawa yang berada atas rak kasut di rumahnya di Taman Desa Skudai di sini hari ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan II Faisal Ismail berkata, lelaki itu menyedari ular berkenaan ketika mahu meletakkan kasutnya selepas pulang dari berniaga pada jam 7.23 pagi.
"Mujur lelaki berkenaan perasan ada ular melingkar atas kasut dan selipar di atas rak kasut. Dia kemudian meminta bantuan pihak bomba kerana bimbang kejadian tidak diingini.
"Seramai 11 anggota dari BBP Skudai dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ular sawa sepanjang kira-kira 2.4 meter berjaya ditangkap dengan menggunakan unit penjerut binatang.
Katanya, reptilia tersebut dilepaskan ke kawasan hutan yang jauh dari kawasan kediaman penduduk dan operasi tamat pada jam 7.32 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!