Dua beradik larikan MPV polis

Kereta MPV PDRM yang berjaya ditemui semula di Shah Alam.
Kereta MPV PDRM yang berjaya ditemui semula di Shah Alam.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMASKINI] Dua beradik melarikan sebuah kereta peronda (MPV) model Honda Civic 1.8S milik Polis Diraja Malaysia selepas menyamar sebagai anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat.

Kejadian berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini malam tadi.

Menurut sumber, dalam kejadian pada jam 9.15 malam itu, terdapat seorang anggota polis yang bertugas sebagai penyelia MPV.

"Anggota polis tersebut didatangi dua lelaki ketika sedang bertugas di bahagian MPV, IPD SPU. Mereka yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis mendakwa ingin membuat pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) terdapat dalam MPV tersebut.

"Kemudian, salah seorang suspek mengambil kunci kenderaan di rak sebelum meninggalkan sebuah komputer riba," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, kejadian berlaku amat pantas dan anggota polis yang bertugas ketika itu langsung tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan suspek terus memecut kereta MPV tersebut keluar dari pekarangan IPD SPU berkenaan tanpa sempat penyelia (anggota polis berpangkat sarjan) berbuat apa-apa.

"Penyelia tersebut hanya menyedari kenderaan MPV itu dilarikan selepas setengah jam suspek tidak kembali semula ke IPD SPU. Selain itu, polis juga gagal menghubungi kenderaan tersebut menerusi 'walkie talkie'. Susulan daripada itu, polis mula mengesan lokasi MPV tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber, MPV itu berjaya dikesan di Shah Alam, Selangor dan polis berjaya menahan suspek bersama seorang wanita berusia 20-an dipercayai teman wanitanya yang berada dalam kenderaan tersebut.

"Polis turut menahan seorang lelaki yang merupakan adik kepada suspek (pemandu MPV) di Tasek Gelugor di sini, awal pagi tadi bagi membantu siasatan.

Teman wanita suspek turut ditahan.
Teman wanita suspek turut ditahan.

"Kedua-dua lelaki tersebut adalah adik beradik berusia 28 dan 32 tahun. Ketika kejadian, abang yang mengambil kunci kereta MPV tersebut di rak kunci di IPD SPU," katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek utama mengambil teman wanitanya di Tasek Gelugor dan cuba menyamun sebuah kedai runcit di kawasan tersebut.

"Mereka kemudian menaiki kenderaan tersebut ke Shah Alam, Selangor. Difahamkan, suspek bertindak demikian kerana mahu menunjuk kepada teman wanitanya itu.

"Semakan mendapati, suspek utama pernah ditahan pada 15 Oktober lalu kerana mencuri kabel elektrik. Dia dan adiknya juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah serta merupakan penagih dadah tegar," katanya.

Menurut sumber, siasatan awal juga mendapati suspek utama mempunyai masalah mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 379A dan 170 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!