Darurat talian hayat politik Muhyiddin: Raja Kamarul Bahrin
KUALA TERENGGANU - Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa bukan mahu menyelamatkan rakyat daripada pandemik koronavirus (Covid-19) yang kian meningkat susulan berhasrat mahu mengisytiharkan darurat.
Sebaliknya Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa, motif utama darurat adalah sebagai talian hayat politik Muhyiddin untuk terus mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri.
“Motif utama Muhyiddin bukan untuk menyelamatkan rakyat daripada Covid-19 tetapi untuk talian hayat politiknya sendiri bagi meneruskan kerakusan berkuasa seperti ditunjukkan di Sabah dan terus menjadi Perdana Menteri.
“Yang mencadangkan darurat di mesyuarat Kabinet dilaporkan adalah Azmin Ali dari Bersatu yang bercita-cita tinggi menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin.
“Yang menyokong cadangan tersebut adalah Takiyuddin dari Pas. Menteri dari Pas juga lah yang telah melanggar peraturan kuarantin Covid-19 selepas pulang dari Turki tanpa dikenakan hukuman sepatutnya.
“Si pencetus punca masalahlah yang mencadangkan hak rakyat melalui Ahli Parlimen disekat dengan darurat, Parlimen digantung,” dakwa bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau tidak nampak kewajaran pelaksanaan darurat kerana Muhyiddin sebelum ini mengakui kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani Covid-19 dengan cemerlang apatah lagi peningkatan penularan hanya berlaku di Sabah dan beberapa kawasan lain.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sandiwara dimainkan Muhyiddin yang kononnya mahu menyelamatkan Malaysia melalui darurat sedangkan dia sendiri pencetus berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga merebaknya Covid-19.
“'Abah' jugalah yang tidak serius dengan SOP Covid-19 dengan tidak mengenakan hukuman sepatutnya ke atas menteri yang melanggar peraturan kuarantin sementara rakyat biasa didenda dan dipenjara serta ugutan dirotan.
“Jadi kalau peraturan biasa pun tidak diambil berat oleh Muhyiddin dan menteri, untuk apakah sebenarnya undang-undang darurat yang boleh merosakkan ekonomi negara akan diadakan kalau tidak hanya untuk menyelamatkan kuasanya sebagai Perdana Menteri semata mata,” katanya.
Menurut Raja Kamarul Bahrin, beberapa tokoh negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga berpendapat darurat itu tali hayat yang akan menyelamatkan Muhyiddin dan merosakkan ekonomi negara yang sedang parah.
Sehubungan itu, beliau berharap mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu yang akan bersidang bagi membincangkan perkara tersebut akan mendapat pandangan dan nasihat daripada mereka yang arif dengan undang-undang perlembagaan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!