PRK Cameron Highlands: Najib kata Bersih pelik
SHAH ALAM - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik senarai kesalahan dikeluarkan Bersih dengan menyatakan BN dan Pas melakukan kesalahan paling serius dalam PRK Cameron Highlands.
Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) pilihan raya itu menyatakan kedua-dua parti itu telah mempermainkan isu agama dan bangsa kerana menimbulkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Dakwa Najib, bertahun-tahun lamanya sebelum mentadbir negara, PH menggunakan kes-kes kematian Teoh Beng Hock dan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebagai modal ceramah serta kempen mereka namun Bersih katanya tidak pernah mengadu tentang perkara ini walaupun sekali.
"Pelik sungguh Bersih ini," tulis Najib menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 23 kesalahan sepanjang PRK Cameron Highlands
Bersih dalam sidang media hari ini berkata, pihaknya merekodkan beberapa salah laku dan kesalahan pada PRK Cameron Highlands yang membabitkan permainan sentimen bangsa, agama dan identiti politik.
Pengerusnya, Thomas Fann berkata, hasil pemerhatian Bersih sepanjang kempen PRK merekodkan 23 kes yang berkaitan dengan salah laku dan kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh parti-parti politik.
Jelasnya, berdasarkan rekod kesalahan tersebut, PH mencatatkan lima kesalahan, BN pula 14 kesalahan, manakala Pas dua kesalahan dan lain-lain, masing-masing dua kesalahan menjadikan kesalahan terkumpul sebanyak 23 kes.
“Antara kesalahan pilihan raya yang dilakukan iaitu beli undi dan pengaruh tidak wajar melibatkan PH, dua kes, penjamuan empat kes dilakukan oleh BN, penggunaan sumber kerajaan PH satu kes, BN dua kes.
“Selain itu, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara kaum dan agama, BN satu kes, Pas dua kes, lain-lain satu kes. Berkempen pada hari mengundi, dua dilakukan oleh PH manakala tujuh dilakukan oleh BN,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!