Maik arah kuliah agama ditangguh mulai hari ini
KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan supaya kuliah agama di seluruh masjid di negeri ini ditangguhkan serta merta sehingga 27 Oktober ini.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, arahan berkenaan berikutan berlaku peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di seluruh negara termasuk di Kelantan sejak akhir-akhir ini.
Menurut beliau, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan bagi Kelantan dan Ketua Agama Islam negeri seperti peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengampuni perkenan supaya penangguhan kuliah-kuliah agama di masjid seluruh Kelantan.
“Sehubungan itu, Maik mengarahkan semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib, dhuha dan kuliah-kuliah lain termasuk kelas-kelas Al-quran ditangguhkan serta merta bermula 25 Oktober sehingga 27 Oktober 2020.
“Bagaimanapun solat fardu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard pencegahan wabak Covid-19 dikeluarkan Maik sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mendoakan wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat ALLAH jua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!