'Maaf tak dapat besarkan Muhammad Arif'
TANJONG KARANG - Kami mohon maaf kerana tidak dapat membesarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi. Kami mohon sesiapa yang sanggup membesarkan dia, kami (amat) berterima kasih, demikian antara kandungan nota yang didakwa ditinggalkan bersama seorang bayi lelaki di hadapan pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Sungai Kajang di sini pagi tadi.
Bayi yang lengkap berpakaian itu ditemui oleh Ketua Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Integrasi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Nurul Huda, Mohd Maidin Abdul Rahim, 38, ketika dalam perjalanan ke sekolahnya pada kira-kira jam 7.15 pagi tadi.
Mohd Maidin berkata, bayi berusia lingkungan dua hingga tiga bulan itu ditemuinya dalam sebuah kotak yang ditutup dengan kain baldu.
"Ketika kejadian saya ingin ke sekolah bagi memantau kerja-kerja meracun dan ingin menyiram pokok bunga sebelum ternampak kotak diletakkan di tepi pintu pagar surau.
"Mulanya saya ingatkan ada orang buang anak kucing dan terus menghampiri kotak, namun terkejut apabila menemui bayi dalam keadaan cukup sifat ditinggalkan bersama nota tulisan tangan, lampin pakai buang dan tisu basah," katanya.
Menurutnya, beliau kemudian terus menahan seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
"Saya memberitahu wanita berkenaan mengenai penemuan seorang bayi dan meminta bantuannya menghubungi talian kecemasan," katanya.
Beliau berkata, setakat ini, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuh badannya.
"Bayi ini kemudian diserahkan kepada polis yang membawanya ke Hospital Tanjong Karang untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Katanya, beliau mengesyaki bayi itu mungkin baharu ditinggalkan selepas solat Subuh pagi tadi.
"Kebetulan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilaksanakan, jadi hanya beberapa jemaah dibenarkan solat di surau itu.
"Jemaah yang saya temui memaklumkan mereka tidak perasan terdapat kotak di pintu surau dan mungkin diletakkan selepas kesemua mereka beredar dari surau," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan penemuan bayi terbabit.
"Pihak polis sedang siasat kes ini dan mendapatkan maklumat penemuan bayi tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!