PKPB: Ada pekerja salah guna surat kebenaran
KUALA LUMPUR - Polis mengesan tindakan segelintir pekerja menyalahgunakan surat kebenaran daripada majikan untuk bergerak tanpa alasan munasabah pada hujung minggu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa sejak 14 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan majikan masing-masing untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, ini kerana terdapat sektor perkhidmatan yang hanya beroperasi pada hari biasa tetapi ada yang mengambil kesempatan menggunakan surat kebenaran itu untuk melepasi sekatan jalan raya pada hujung minggu bagi tujuan peribadi dan tanpa alasan munasabah.
“Ada juga sebilangan pekerja yang membuat salinan surat yang sama untuk beberapa rakan sekerja tetapi tidak mungkin kesemua mereka bekerja pada masa sama pada hari tidak bekerja.
“Selain itu, pemeriksaan lebih teliti dan kerap juga akan dilakukan ke atas (sektor) perkhidmatan seperti penghantaran kurier,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan PKPB di beberapa sekatan jalan raya di daerah Sentul hari ini.
Shanmugamoorthy berkata, pihaknya turut mengesan beberapa individu yang memberi alasan hendak membuat penghantaran bungkusan atau barangan dengan menunjukkan dokumen berkaitan tetapi apabila diperiksa lanjut mereka bergerak dengan tangan kosong.
“Jika sebelum ini hanya kompaun atau amaran yang diberi terhadap mereka yang ingkar perintah PKPB ini, tetapi tindakan sama juga akan diambil terhadap majikan.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengaburi mata pihak berkuasa untuk tujuan peribadi bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!