688 individu ditahan ingkar PKP
KUALA LUMPUR - Seramai 688 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah itu meningkat berbanding 585 individu pada hari sebelumnya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 678 individu dikompaun manakala 10 lagi direman.
“Kesalahan membabitkan penjarakan fizikal (213), tidak memakai pelitup muka (211), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (136), rentas negeri dan daerah PKPB tanpa kebenaran (37) dan lain-lain (91),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya, seramai 10 warga asing telah ditahan dan sebanyak lima kenderaan darat berjaya dirampas dalam Operasi Benteng semalam manakala sebanyak 303 sekatan jalan raya dilaksanakan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 54,312 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 8,683 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 45,248 individu didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!