Kajian Ilham Centre ‘loceng amaran’ buat PH

Fakhrurazi Mokhtar
Fakhrurazi Mokhtar
A
A
A

KLANG - Hasil laporan kajian dijalankan firma penyelidik bebas yang menyatakan 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan ketika ini harus menjadi ‘loceng amaran’ kepada pihak kerajaan.

Adun Meru, Fakhrurazi Mokhtar berkata, kerajaan perlu berhenti bermimpi indah pasca PRU14 dengan menumpukan kerja menawan hati orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, pemimpin PH juga perlu berlapang dada menerima hasil laporan kajian itu.

“Dapatan kajian dilakukan Ilham Centre dan Penang Institute menyatakan 60 peratus Melayu tidak puas hati dengan prestasi kerajaan.

“Kajian tersebut perlu dijadikan ‘turning point’ buat pemimpin PH supaya segera bertindak bagi menyekat angka data dan kajian agar selepas ini peratusannya tidak bertambah,” katanya.

Katanya, jumlah pengundi Melayu dicatat tidak berpuas hati dengan kerajaan adalah tinggi dan tidak boleh dipandang remeh kerajaan.

Sesuatu perlu dilakukan kerajaan berikutan Melayu adalah tunjang kepada penyumbang kemenangan mahupun kekalahan dalam PRU15 kelak.

“Sejarah tunjuk beberapa kajian dibuat pelbagai pusat kajian sebelum PRU14 ramal BN bakal tumbang atau dilawan sengit oleh pembangkang.

Artikel Berkaitan:

“Namun BN terus alpa dan tidak pandang serius kajian tersebut. Ambillah pengajaran daripada keangkuhan kerajaan terdahulu, kerajaan sekarang tidak boleh diam diri lagi,” katanya.

Fakhrurazi berkata, pihaknya menjangkakan antara faktor ketidakpuashatian orang Melayu adalah propaganda dan sentimen ditanam oleh pembangkang.

Menerusi kajian itu menunjukkan orang Melayu percaya bukan Islam sedang menguasai kerajaan dan DAP membuat keputusan di Putrajaya.

“Ini adalah fitnah direka-reka dan ia menjalar di pemikiran orang Melayu. Isu ini bahaya kerana boleh undang perpecahan dan perpaduan kaum yang terbina selama ini .

“Kerajaan perlu tangani persepsi liar dengan tindakan tegas kepada golongan penghasut dan pemfitnah kerana ia ibarat racun pembunuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan harus tunaikan segala janji pada pilihan raya atau menggantikan dengan komitmen lebih baik kepada rakyat.

Beliau yakin hati rakyat akan sejuk jika kos sara hidup berkurangan, harga barangan dan minyak dikawal, konsesi tol dikaji dan harganya dikurangkan dan subsidi bentuk terus diberi kepada semua golongan memerlukan.

“Rakyat juga akan gembira jika kerajaan selesai isu PTPTN, pelaksanaan gaji minimum, kawalan harga rumah, kereta dan lain-lain lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, portal berita melaporkan kajian dijalankan di seluruh negara akhir tahun lalu itu menunjukkan hampir 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.

Hasil kajian menyatakan 54.4 peratus responden Melayu tidak percaya kerajaan serius laksanakan agenda Melayu, termasuk mempertahankan hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.

Kajian Ilham Centre bersama Penang Institute itu dijalankan ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!