Boikot produk Perancis tanda protes sentimen anti-Islam

Produk keluaran Perancis telah ditarik balik daripada pasaran di kebanyakan negara Arab. - Foto Agensi
Produk keluaran Perancis telah ditarik balik daripada pasaran di kebanyakan negara Arab. - Foto Agensi
A
A
A

DOHA - Gesaan untuk memboikot produk Perancis semakin meningkat di rantau Arab dan negara Muslim beberapa hari selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan angkuh menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Hashtag #BoycottFrenchProducts turut menjadi trending di Twitter sebagai tanda protes terhadap sentimen anti-Islam yang kembali meningkat di Paris susulan kejadian seorang guru dipenggal kerana tindakan biadabnya menunjukkan karikatur Nabi.

Pengguna media sosial turut menukar gambar profil mereka dengan sepanduk ‘Muhammad pesuruh ALLAH’ sebagai bantahan terhadap kenyataan Macron yang mempersendakan Rasulullah pada Rabu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Paris telah memanggil semula Duta Perancis ke Turki selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan menegaskan Macron perlu melakukan pemeriksaan mental kerana berikrar untuk mempertahankan nilai sekular dan memerangi radikal Islam.

Sementara itu, gerakan Hamas dalam satu kenyataan menyifatkan perbuatan menghina agama dan Nabi bukan satu bentuk kebebasan bersuara sebaliknya ia mempromosikan budaya kebencian terhadap Islam.

“Pendirian Macron yang menggalakkan penerbitan karikatur Nabi Muhammad adalah cubaan untuk menghidupkan semula Perang Salib yang pernah dicetuskan Perancis sebelum ini,” kata jurucakapnya, Sami Abu Zuhri. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!