Pemimpin Singapura ucap tahniah kepada Sultan Abdullah

 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. - Foto Bernama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA – Para pemimpin Singapura mengucapkan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengangkat sumpah hari ini sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu.

Presiden Halimah Yacob dalam perutusan tahniahnya berkata, “Bagi pihak rakyat Republik Singapura, saya ingin memanjangkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka pada istiadat yang gemilang di atas perisytiharan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Seri Paduka begitu dihormati ramai atas kemurahan hati dan mengambil berat kebajikan rakyat Malaysia dari semua peringkat kehidupan. Saya yakin di bawah pemerintahan Seri Paduka, Malaysia akan terus menikmati kemakmuran dan kemajuan,” katanya.

Halimah berkata, Malaysia dan Singapura menikmati sejarah persahabatan dan kerjasama yang lama hasil ikatan yang kukuh antara rakyatnya.

“Saya mengalu-alukan kerjasama erat dengan Seri Paduka bagi mengukuhkan lagi hubungan duahala antara kedua-dua negara. Suami dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong agar dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan,” katanya.

Sultan Abdullah, 59, melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru pada satu istiadat penuh tradisional di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Seri Paduka dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dalam perutusan tahniahnya berkata, “Bagi pihak Kerajaan Singapura, saya ingin memanjangkan ucapan tahniah tidak terhingga kepada Seri Paduka yang melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agongyang ke-16.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kebijaksanaan dan rahmat Seri Paduka, saya yakin Malaysia akan terus lebih maju dan berjaya”.

Lee menyatakan bahawa Malaysia dan Singapura berkongsi sejarah yang lama dan unik yang dibina atas hubungan erat antara rakyat dan kerjasama bagi faedah bersama di dalam banyak sektor.

“Kita juga bekerjasama baik dalam peringkat serantau dan antarabangsa. Saya yakin hubungan dua hala ini akan diperkukuhkan lagi di bawah pemerintahan Seri Paduka. Ho Ching dan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan salam hormat dan maju jaya kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong”.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Presiden Russia, Vladimir Putin mengutus ucapan tahniah menerusi telegram kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengangkat sumpah hari ini sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu.

Dalam perutusan yang dihantar dalam Malaysia Facebook, Kedutaan Russia, Presiden berkenaan menyatakan mengenai hubungan persahabatan semulajadi yang sedia terjalin antara Russia-Malaysia, dan berharap hubungan dua hala dan kerjasama antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan semasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

Presiden itu juga berharap keselamatan dan kestabilan di Asia Pasifik akan terus diperkukuhkan.

“Vladimir Putin turut berharap Seri Paduka sentiasa dipelihara kesihatan dan berjaya, serta mendoakan kesejahteraan dan keamanan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!