Keputusan Agong perkukuh sistem Raja Berperlembagaan: Anwar
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah menolak usul mengisytiharkan darurat jelas memperkukuh sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen.
Presiden PKR itu berkata, ketetapan bersejarah Seri Paduka Baginda menolak usul yang dibawa Perdana Menteri dan jemaah menteri ternyata suatu keputusan yang memahami keresahan rakyat.
"Saya menyambut baik serta menghargai kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta ihsan dan hemah Raja-Raja Melayu atas kenyataan, pendirian dan pandangan terkait permohonan pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.
"Ia ternyata suatu ketetapan yang berlandaskan semangat Perlembagaan dan memahami denyut nadi keresahan dan suara rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Yang di-Pertuan Agong hari ini menolak pengisytiharan darurat sebagai langkah menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ia seperti yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin politik, masyarakat madani, tokoh-tokoh akademik dan pihak media yang bertanggungjawab yang menginginkan agar sistem demokrasi tidak dinodai.
"Saya juga mengambil maklum nasihat Tuanku Agong agar pimpinan politik termasuk ahli-ahli Parlimen untuk tidak berlebihan berpolitik wajar dicermati dan dihayati.
"Tokoh-tokoh politik termasuk ahli-ahli parlimen harus prihatin dan menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Perlembagaan dan kebertanggungjawaban kepada rakyat, institusi Parlimen dan negar," katanya.
Beliau menjelaskan, langkah itu untuk mengimbangi pelbagai tuntutan terkait keadilan, menolak rasuah dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.
"Selaras dengan semangat ini, maka kami akan mempastikan perancangan menangani malapetaka Covid-19 masalah pengangguran dan kemiskinan serta menjana pertumbuhan
ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih terencana dan berkesan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!