Penternak kupang dikhuatiri lemas

Mangsa dipercayai terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Perairan Sabak Bernam petang semalam.
Mangsa dipercayai terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Perairan Sabak Bernam petang semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penternak kupang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan sampannya yang terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Perairan Sabak Bernam di sini petang semalam.

Mangsa, Jam Md Ross, 43, dilaporkan hilang oleh seorang rakannya.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berhubung kejadian itu pada jam 5.45 petang semalam.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC) terus mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) sebaik menerima laporan tersebut.

"Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Pantai Kampung Sungai Pulai, Sabak Bernam.

"Aset Maritim Malaysia PETIR90 juga digerakkan dengan keluasan lokasi pencarian kira-kira 25 batu nautika persegi," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Beliau berkata, operasi itu turut dibantu bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Hebahan turut dilakukan kepada komuniti nelayan untuk sama-sama melakukan pencarian.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta segera menghubungi talian 03-31769100/0627," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!