Usahawan empower ECER bina keyakinan diri

Peserta program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Besut dan Ketereh mendengar penerangan mengenai penggunaan peralatan flying fox yang merupakan antara aktiviti dalam program ‘Super Power: Team Building’.
Peserta program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Besut dan Ketereh mendengar penerangan mengenai penggunaan peralatan flying fox yang merupakan antara aktiviti dalam program ‘Super Power: Team Building’.
A
A
A

BESUT - Peserta Latihan Kemahiran 2019/2020 dari program empower ECER Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Besut dan Ketereh menyertai program ‘Super Power: Team Building’ bagi membina keyakinan diri dalam bidang keusahawanan.

Eksekutif Wilayah Ekonomi Pantai Timur Terengganu, Mustafa Emam Mokhtar berkata, program anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu diadakan di Kem Damai Beach Resort di sini kelmarin.

Menurutnya, semangat peserta turut dipupuk supaya kental menghadapi cabaran sepanjang pandemik koronavirus (Covid-19) yang kini melanda dunia.

“Menerusi perkongsian oleh peserta lain dalam program ini, peserta disuntik semangat agar mampu meneruskan perniagaan walaupun dalam keadaan terbatas,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Program Empower ECER Besut dan Ketereh kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Mustafa Emam berkata, program itu merupakan serampang dua mata di bawah program membangunkan modal insan yang dilancarkan oleh ECERDC pada tahun 2010.

“Program latihan dan kemahiran ini menyasarkan golongan belia dan dewasa yang berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

“Ia juga bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar melalui peningkatan prestasi akademik para pelajar dan kemahiran vokasional para peserta.

Artikel Berkaitan:

“Program ini terbuka kepada semua peserta tanpa mengira bangsa, jantina dan usia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, empower ECER kini sedang dilaksanakan di 29 lokasi ECER di tiga negeri iaitu di Pahang (Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands, Jerantut, Maran, Rompin, Pekan, Kuantan dan Bera); Kelantan (Jeli, Bachok, Ketereh, Gua Musang, Kuala Krai, Tumpat, Machang, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Tanah Merah); Terengganu (Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Marang dan Seberang Takir).

“Empower ECER di Terengganu kali pertama diperkenalkan di daerah Kemaman pada tahun 2011 dan kini diperluaskan ke enam lagi daerah lain,” katanya.

ECERDC merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Tindakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merangkumi Pahang, Kelantan, Terengganu dan daerah Mersing di Johor.

Badan berkenaan memainkan peranan utama dalam menggariskan hala tuju, dasar dan strategi yang berkaitan dengan pembangunan ECER serta mempromosi dan memudahcara pelaburan di ECER.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!