Tiada darurat: Wanita PKR sambut baik titah Agong
SHAH ALAM - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.
Ketuanya, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga menjunjung titah Seri Paduka dalam menangani ancaman wabak koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, pihaknya akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha berkenaan.
"Saya menjunjung kasih di atas keputusan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu yang menolak permohonan pengisytiharan darurat daripada Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Seluruh rakyat Malaysia sudah pasti berasa lega dengan keputusan itu setelah beberapa hari rakyat berada dalam kegelisahan mengikuti perkembangan permohonan dari Perdana Menteri itu.
"Terutamanya, kita sekarang perlu berganding bahu memerangi penularan semula pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan kerencatan usaha pemulihan ekonomi," katanya.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!