Azerbaijan, Armenia setuju gencatan senjata
ANKARA - Azerbaijan dan Armenia bersetuju melakukan gencatan senjata kemanusiaan mulai Isnin pagi, memetik pengumuman Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Ahad lapor Agensi Anadolu.
Gencatan itu bermula 8 pagi waktu tempatan (1600GMT) pada 26 Oktober 2020, menurut kenyataan bersama AS, Azerbaijan dan Armenia.
Menurut kenyataan itu, Timbalan Setiausaha Negara AS Stephen Biegun bertemu Menteri Luar Armenia, Zohrab Mnatsakanyan dan Menteri Luar Azerbaijan Jeyhun Bayramov pada 24 Oktober.
Kedua-dua negara menegaskan semula komitmen untuk melaksanakan dan mematuhi gencatan senjata yang dipersetujui di Moscow pada 10 Oktober, tambah kenyataan itu.
"Amerika Syarikat (AS) menjadi perantara rundingan antara Menteri Luar dan Pengerusi Bersama Kumpulan Minsk untuk menggerakkan Armenia dan Azerbaijan lebih dekat dengan penyelesaian damai konflik Nagorno-Karabakh," katanya.
OSCE Kumpulan Minsk OSCE merujuk kepada pertubuhan tiga pihak dipengerusikan bersama Perancis, AS dan Rusia, dibentuk pada 1992 untuk mencari penyelesaian damai terhadap konflik itu.
Konflik bersenjata di Nagorno-Karabakh sudah berlarutan sejak 27 September. Kedua-dua negara bersetuju untuk gencatan senjata kemanusiaan, namun dilanggar kedua-dua pihak hanya beberapa jam selepas ia berkuat kuasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!