'Everton memang beraksi buruk'

Ancelotti
Ancelotti
A
A
A

PENGENDALI Everton, Carlo Ancelotti tidak mahu banyak memberikan alasan selepas tewas kepada Southampton 0-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary's semalam.

Menurutnya, The Toffees gagal bermain baik dan Southampton menggunakan aksi kurang bermaya para pemainnya untuk meraih kemenangan tersebut.

"Kami tidak bermain baik, Southampton jauh lebih baik berbanding kami dan mereka layak menang. Itu sahaja.

"Kadang-kadang anda tidak tampil dengan persembahan terbaik dan itu terjadi selepas kami melalui beberapa perlawanan dengan hasil yang baik. Kami harus bersedia melihat ke hadapan dengan semangat serta keyakinan yang sama," katanya.

Dalam perlawanan itu, James Ward-Prowse membuka tirai jaringan buat Southampton pada minit ke-25 sebelum Che Adams menjaringkan gol kedua pada minit ke-36 untuk memadamkan rekod tanpa kalah Everton dalam saingan EPL.

Pada separuh masa kedua, Everton cuba bangkit dengan menguasai keseluruhan perlawanan, namun hampa selepas gagal menembusi pertahanan Southampton selain pemain pertahanannya Lucas Digne dilayangkan kad merah pada minit ke-72.

"Kami cuba bangkit dalam perlawanan ini dan kami menguasai pertandingan dengan baik selepas babak pertama. Namun, kami gagal menjaringkan gol. Saya sudah ingatkan pemain, kami perlu beraksi lebih baik dalam perlawanan akan datang jika mahu terus kekal dalam kelompok teratas liga," kata Ancelotti.

Dalam masa sama, pengendali kelahiran Itali itu membidas tindakan pengadil yang memberikan kad merah kepada Digne selepas didakwa melakukan kekasaran terhadap pertahanan Southampton, Kyle Walker-Peters.

Artikel Berkaitan:

"Kad merah itu sangat lucu. Kejadian itu tidak disengajakan.Ia bukan kekasaran dan saya fikir pengadil mungkin perlu beri kad kuning sahaja.

"Mungkin cakap-cakap mengenai insiden membabitkan Jordan Pickford dan Richarlison ketika menentang Liverpool baru-baru ini mempengaruhi keputusan dan kalau benar begitu, ia tidak adil.

"Kami akan melakukan protes.Digne hanya berlari di belakang Peters dan kakinya terkena pemain itu. Dia tidak berniat pun untuk melakukan kekasaran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!