Keputusan Agong berhemah, bijaksana: Aminuddin

Aminuddin (belakang, dua dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian 'Supply Agreement Of Renewable Energy' di antara MBS dan GSPARX Sdn. Bhd di Wisma MBS di sini hari ini.
Aminuddin (belakang, dua dari kiri) menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian 'Supply Agreement Of Renewable Energy' di antara MBS dan GSPARX Sdn. Bhd di Wisma MBS di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu yang menolak permohonan untuk pengisytiharan darurat disifatkan sebagai keputusan yang berhemah serta bijaksana demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan tersebut bagi memastikan kelangsungan pembangunan ekonomi negara dan menyelesaikan permasalahan rakyat dengan lebih baik serta teratur.

"Nasihat Seri Paduka kepada semua ahli politik dan pemimpin perlu diberi perhatian dan Insya-ALLAH negara ini akan terus berada dalam pembangunan lebih baik walaupun kita berdepan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian 'Supply Agreement of Renewable Energy (SARE) di antara Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd di Wisma MBS di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehuddin, Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd, Elmie Fairul Mashuri dan Ketua Khidmat Pelanggan TNB Negeri Sembilan, Bahagian Peruncitan, Mahamad Farizan Mahamad.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara dan Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar serta tindakan memerangi wabak Covid-19.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis menandatangani perjanjian diadakan itu, Aminuddin berkata, menerusi perjanjian tersebut kerajaan negeri mampu melakukan penjimatan kira-kira RM3.2 juta bil elektrik bagi tempoh 21 tahun.

"Jadi kita sudah meminta pihak TNB untuk mengkaji dan mencadangkan lokasi-lokasi yang sesuai di negeri ini bagi pemasangan panel solar.

Artikel Berkaitan:

"Malah dalam perbincangan tadi juga kita sudah nyatakan lokasi-lokasinya, insya-ALLAH jika sesuai kita akan pasang dan ini merupakan inisiatif yang dikemukakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu mengulas perkembangan semasa kes Covid-19 di negeri ini, Aminuddin menjelaskan bahawa situasi kes Covid-19 di zon merah di daerah Seremban adalah terkawal dan operasi perniagaan di Seremban masih berjalan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!