PPM rampas 3.92 juta batang rokok seludup
PASIR PUTEH - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali merampas 3.92 juta batang rokok seludup dan dua buah lori di kawasan hutan bakau di Sungai Bukit Keluang, Besut, Terengganu dekat sini pagi tadi.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan pada jam 5 pagi itu membabitkan jumlah RM3.1 juta termasuk cukai dan dua buah lori yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
"Ini merupakan rampasan rokok terbesar yang dilakukan oleh PPM Wilayah Tiga setakat ini bagi tahun 2020," katanya pada sidang akhbar di Markas PPM Wilayah Tiga Tok Bali di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan dan orang awam berhubung aktiviti penyeludupan tersebut.
Katanya, sejurus menerima maklumat sepasukan anggota PPM Wilayah Tiga Tok Bali terus membuat serbuan di lokasi.
Beliau berkata, menyedari kehadiran anggota PPM kesemua penyeludup terus bertindak melarikan diri ke dalam hutan.
"Pemeriksaan di tempat kejadian telah membawa kepada penemuan dua buah lori yang sarat dengan muatan rokok seludup," katanya.
Norzaid berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua lori itu telah menemui 19,600 karton rokok seludup dan kes disiasat bawah Akta Kastam 1967.
"Siasatan awal mendapati kesemua rokok-rokok seludup itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di sekitar pantai barat.
"Kita akan terus memperketatkan lagi kawalan bagi memastikan perairan negara bebas dari aktiviti jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!