Ekonomi domestik dapat diatasi jika tolak fahaman politik
KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) kekal dengan pendirian bahawa keruntuhan ekonomi domestik hanya dapat diatasi jika semua pemimpin menolak fahaman politik, agama dan bangsa masing-masing untuk mencari jalan penyelesaian demi negara yang tercinta ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, justeru parti itu beliau bersama semua Ahli Parlimen Warisan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak memperkenan pelaksanaan darurat di negara ini.
Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut menjunjung tinggi kearifan dan kebijaksanaan Seri Paduka bersama Raja-Raja Melayu dalam pemerintahannya demi kemakmuran rakyat di negara ini.
"Warisan menyanjung titah Seri Paduka supaya semua pemimpin politik bekerjasama ketika ini demi memastikan negara dapat memerangi wabak koronavirus (Covid-19) yang menyusahkan rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna turut menyeru komuniti perniagaan tampil bekerjasama bersama kerajaan untuk memastikan satu langkah mutlak dapat diambil demi kebaikan bersama.
"Komuniti perniagaan sudah tentu mempunyai idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada kerajaan tentang bagaimana masalah yang timbul dapat diatasi.
"Rakyat melakukan pengorbanan di saat-saat sukar ini, maka tiba masanya semua menteri dan wakil rakyat turut berkorban dengan memberi sumbangan kepada usaha menghadapi tempoh yang sangat mencabar ini," katanya.
Menurutnya, Warisan menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia yang mematuhi arahan kerajaan sejak pandemik Covid-19 melanda.
"Teruskanlah memberi sokongan kepada setiap arahan atau SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa, Insya-ALLAH kita pasti dapat menempuh dan mengatasi cabaran ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!