Ahli politik perlu respons secara positif titah Agong: Lam Thye
KUALA LUMPUR - Pengekalan status quo tidak ada ertinya jika rakyat khususnya ahli politik tidak memberi respons secara positif, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Lam Thye berkata demikian susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu bahawa tiada keperluan untuk pengisytiharan darurat ketika ini dan status quo kekal.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah telah menunjukkan jalan dan kini adalah masa untuk rakyat bertindak balas secara positif.
“Ini bukan masanya untuk cuba memenangi sesuatu bagi kepentingan diri sendiri. Sebaliknya, inilah masa untuk semua rakyat, komuniti perniagaan dan ahli politik berganding bahu menangani pelbagai cabaran yang dihadapi negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lam Thye berkata, kini waktunya untuk bersatu dengan tujuan utama memastikan kestabilan negara kerana negara sedang menghadapi pelbagai masalah untuk ditangani, semuanya pada masa yang sama.
Al-Sultan Abdullah semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Seri Paduka bertitah, perkara itu diputuskan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi semasa di negara ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!