Pelajar wanita dipenjara enam tahun, rompak kenalan Tinder

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Padah merompak seorang kenalan lelaki melalui aplikasi sosial Tinder dengan bersenjatakan pisau, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Mizan Qistina Razali, 24, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguaan munasabah terhadap tertuduh.

Tertuduh, yang juga pelajar di sebuah kolej swasta, diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam, yang mewakili Mizan Qistina, Norhasham Hasan, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi dengan jaminan sebanyak RM7,000.

Mengikut pertuduhan, Mizan Qistina bersama bekas teman lelakinya yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan terhadap Foong Wei Chieh, 34 dan merampas sebuah telefon bimbit iPhone serta wang tunai RM1,500 dengan bersenjatakan pisau yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Cova Suites, Jalan Teknologi, Kota Damansara, di sini, pada jam 9.30 malam, 24 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Norhasham memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan pesalah muda selain ia adalah kesalahan pertamanya.

"Anak guam saya ketika kejadian hanya berusia 21 tahun dan tidak matang selain terpengaruh dengan bekas teman lelakinya. Dia juga adalah anak sulung dan perlu menyara keluarga memandangkan ayahnya sudah tidak bekerja lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Rayam Asyhraf Ashy’ari Kamaruzaman membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dijatuhi hukuman berat kerana membabitkan kesalahan jenayah terancang serta menggunakan senjata. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!