Pemimpin APEC bertemu secara maya pada 20 November
KUALA LUMPUR - Malaysia akan mengadakan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AELM) pada 20 November ini secara maya buat kali pertama dalam sejarah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) susulan situasi pandemik koronavirus (Covid-19).
Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia bertekad untuk memastikan kejayaan mesyuarat-mesyuarat APEC tahun ini.
AELM akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan disertai kesemua 21 pemimpin ekonomi APEC, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hari ini.
Pada mesyuarat itu, Matlamat Pasca-2020 rantau ini dijangka diperkenalkan dokumen dasar penting bagi menggantikan Matlamat Bogor yang akan mencapai tempoh matang pada akhir tahun ini.
Malaysia sebagai peneraju utama bagi usaha memudahkan proses dokumentasi dasar penting itu sedang bekerjasama dengan semua ekonomi APEC ke arah memuktamadkannya dalam beberapa minggu akan datang.
Dokumen itu akan menjadi sumber rujukan utama rantau ini untuk beberapa tahun akan datang.
Malaysia juga telah memulakan kerja berkaitan Deklarasi Pemimpin, sebuah dokumen yang amat penting namun sebaliknya masih sukar difahami sejak dua tahun terakhir untuk mencapai kata sepakat.
Pada 2018, para pemimpin gagal mencapai kata sepakat mengenai Deklarasi Pemimpin dan pada 2019, AELM dibatalkan berikutan situasi domestik di Chile.
Justeru, amat penting bagi Malaysia menegaskan kepemimpinan serantau di samping berusaha merealisasikan Deklarasi Pemimpin tahun ini semasa AELM pada November.
Sebelum AELM berlangsung, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri APEC pada 16 November 2020.
AMM akan menjadi acara penutup bagi mesyuarat peringkat kementerian tahun ini, sebuah platform untuk menilai semula kemajuan status kerja yang dilaksanakan bagi rantau ini.
Malaysia melakar sejarah dengan mengubah cara lazim APEC menjalankan urusannya dengan mengadakan mesyuarat-mesyuarat APEC kebanyakannya dalam format maya penuh.
Tahun 2020 menjadi tempoh yang mencatatkan pencapaian yang tidak pernah dilakarkan APEC sebelum ini apabila mesyuarat peringkat menteri bagi perdagangan, kesihatan, kewangan, wanita serta perusahaan kecil dan sederhana dijalankan secara maya sepenuhnya.
Tempoh Malaysia sebagai tuan rumah kali ini pasti akan diingati susulan negara ini merintis penganjuran mesyuarat-mesyuarat APEC secara digital, melaksanakannya di samping menonjolkan kepimpinan, inovasi, pragmatisme dan berdaya tahan.
Tahun ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah APEC.
Kali pertama Malaysia berperanan sebagai pengerusi dan tuan rumah APEC adalah pada 1998.
Layari www.myapec2020.my atau ikuti APEC 2020 di media sosial untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai APEC 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!