Negara perlukan PM baharu, Anwar paling layak

Aizuddin Ariffin
Aizuddin Ariffin
A
A
A

ALOR SETAR - Negara memerlukan Perdana Menteri baharu susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat gagal menguruskan pemerintahan dengan lancar sehingga mencadangkan pelaksanaan darurat.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata, berdasarkan pemerhatian, rakyat kini mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Menurutnya, tindakan Kabinet diketuai Muhyiddin mencadangkan darurat jelas menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdesak untuk mengekalkan kuasa berbanding melihat kepada impak implementasi darurat.

“jika ditanya siapa paling layak pimpin negara dalam tempoh kemelut politik ini, saya cadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling sesuai berdasarkan pengalaman dalam politik mahupun pentadbiran negara. Beri peluang untuk Anwar buktikan beliau memang layak diangkat sebagai perdana menteri,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Aizuddin yang juga Timbalan Ketua AMK Kedah berkata, ini dibuktikan dengan dapatan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati majoriti rakyat menolak darurat.

“Keruntuhan sistem ekonomi negara meresahkan rakyat, bagaimana pengisytiharan darurat kesihatan boleh mengawal pandemik koronavirus (Covid-19) tatkala kerajaan mendakwa masih mampu mengawal wabak itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ahli Parlimen BN dijangka tolak Muhyiddin'

Berdasarkan kajian IDE, pilihan terbaik untuk Malaysia ketika ini adalah dengan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 49.80 peratus (25,469) responden menyatakan sokongan supaya Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala 32.49 peratus (16,617 responden) mahu Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri dan.

hanya 17.71 peratus (9,061 responden) mahu Parlimen dibubarkan serta diadakan pilihan raya umum.

Hasil kaji selidik itu juga mendapati, 77.39 peratus (39,587 responden) menolak darurat dan ini konsisten dengan kegusaran dilontarkan pemerhati politik.

Dapatan tersebut diperoleh menerusi pungutan pendapat bertajuk 'Rakyat Malaysia Bersuara' dijalankan secara elektronik pada 24 Oktober, melibatkan 51,147 responden pelbagai latar belakang.

Mengulas lanjut, Aizuddin mendakwa Muhyiddin sebagai pengecut untuk berdepan realiti sistem demokrasi berperlembagaan negara.

“Perkembangan mutakhir ini menguatkan lagi fakta kerajaan pimpinan Muhyiddin tiada lagi sokongan majoriti untuk memerintah negara. Sepatutnya, Kabinet PN fokus kepada usaha mengawal pandemik Covid-19 dengan menyalurkan keperluan kewangan, peralatan dan petugas barisan hadapan bukannya cetuskan polemik politik,” katanya.

Beliau turut mempersoal ke mana hilangnya suara Pemuda Pas dan Pemuda UMNO berhubung keputusan Kabinet Muhyiddin mencadangkan darurat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!