Isu bubar Parlimen tidak disentuh dalam mesyuarat khas Kabinet
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Isu pembubaran Parlimen langsung tidak dibangkitkan pada mesyuarat khas Kabinet, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ia tidak dibangkitkan, tidak dibincangkan,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.
Menteri Pertahanan itu berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kononnya beliau bersama ahli kabinet lain akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mencadangkan pembubaran Parlimen.
Ini susulan tular satu tangkap layar perbualan dalam satu kumpulan yang menunjukkan kononnya Ismail Sabri memaklumkan ketua-ketua UMNO Bahagian bahawa beliau dan rakan lain dalam Kabinet akan mencadangkan pembubaran Parlimen hari ini.
Terdahulu hari ini, Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat khas lebih dua jam bersama Jemaah Menteri di Perdana Putra, Putrajaya, menyusuli titah Al-Sultan Abdullah semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.
Ismail Sabri berkata, sebelum ini juga pernah terjadi isu apabila kenyataan beliau berhubung kebenaran rakyat Singapura memasuki Malaysia disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan kekeliruan.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima sebelum mempercayainya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, individu yang didapati menyalahgunakan surat kebenaran majikan atau pas pekerja boleh dikenakan tindakan tegas oleh pihak polis.
Beliau berkata, surat itu adalah untuk tujuan bekerja bagi individu yang perlu bekerja di pejabat serta memudahkan mereka melepasi sekatan jalan raya.
"Surat tersebut bukan untuk tujuan peribadi tanpa alasan munasabah seperti keluar pada hujung minggu. Polis telah bersetuju untuk mewujudkan laluan khas kepada pekerja yang mempunyai pas pekerja atau surat kebenaran majikan supaya mereka tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
"Barisan hadapan juga diberi laluan khas. Malah kenderaan mengangkut barangan untuk membawa produk berkaitan perkilangan turut disediakan laluan khas,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan polis mengesan tindakan segelintir individu menyalahgunakan surat kebenaran daripada majikan untuk bergerak tanpa alasan munasabah pada hujung minggu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa sejak 14 Oktober lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!