'Selami titah Agong, berhenti politiking'
KOTA KINABALU - Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada semua pemimpin dan ahli politik supaya berhenti bermain politik harus diselami dan diambil perhatian semua pihak.
Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah, Mazlan Joehari berkata, politiking yang melampau dan gangguan terdesak mengambil kesempatan situasi semasa koronavirus (Covid-19) untuk terus menekan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus dihentikan.
"Ini kerana ia tidak akan membantu memudahkan rakyat berperang dengan pandemik Covid-19.
"Masalah ekonomi negara dan rakyat akan berterusan jika pimpinan politik negara bermain politik serta memanipulasi keadaan semasa tanpa memikirkan kebajikan dan keselamatan rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, perang melawan pandemik Covid-19 bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan perbelanjaan yang besar.
"Memulihkan ekonomi negara kesan daripada pandemik ini juga memerlukan perancangan dan perbelanjaan rapi.
"Kepentingan untuk kerajaan pimpinan Muhyiddin mendapatkan input bagi Belanjawan 2021 dan teramat penting untuk belanjawan itu diluluskan agar segala perancangan kerajaan melawan Covid-19 dapat dilaksanakan dan dijayakan," katanya.
Sehubungan itu, Mazlan menyeru kepada semua pimpinan parti politik supaya berlapang dada dan bermuhasabah diri.
"Ketika ini bukannya masa yang sesuai bermain politik yang keterlaluan demi memenuhi kepentingan politik masing-masing.
"Rakyat memerlukan bantuan dan keprihatinan pemimpin kepada nasib mereka, ketepikan pendirian politik masing-masing buat seketika dan angkatlah kepentingan rakyat ke tempat yang sepatutnya," katanya.
Terdahulu, semalam Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.
Seri Paduka turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!