Lapor polis jika ada perhimpunan besar-besaran: Noor Hisham
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesa orang ramai membuat laporan polis sekiranya terdapat perhimpunan besar-besaran yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, garis panduan tersebut telah dikeluarkan.
"Jika ada yang melihat pelanggaran berlaku, sila laporkan kepada polis," katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Sekali lagi kita ingatkan, elakkan tempat yang sesak dan harap semua dapat mematuhinya," katanya pada sidang akhbar harian perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita berhubung kebimbangan rakyat terhadap mesyuarat tergempar Barisan Nasional (BN) dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan semua pihak agar tidak bertelagah antara satu sama lain.
Sebaliknya, beliau meminta segenap lapisan masyarakat di Malaysia untuk bersatu melawan Covid-19.
"Kita boleh menang peperangan ini sekiranya semua orang memainkan peranan masing-masing.
"Tolonglah bantu kami untuk putuskan rantaian Covid-19 ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!