Petronas Yamaha SRT nyala impian

Morbidelli meraikan kejayaannya menjuarai GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol kelmarin.
Morbidelli meraikan kejayaannya menjuarai GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol kelmarin.
A
A
A

PRINSIPAL Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali ternyata berpuas hati dengan prestasi Franco Morbidelli yang memperoleh kemenangan keduanya dalam kelas MotoGP pada Grand Prix (GP) Teruel di Litar Aragon, Sepanyol kelmarin.

Razlan menegaskan bahawa kemenangan kedua yang diraih Morbidelli selepas GP San Marino bulan lalu sudah pasti meningkatkan semangat pelumba berusia 25 tahun dari Itali itu untuk mengejar gelaran juara dunia musim ini.

"Dia (Morbidelli) kini kembali bersaing untuk mengejar kejuaraan dunia dengan hanya berbaki tiga pusingan lagi apabila ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu (Joan Mir).

"Motosikalnya berada dalam keadaan baik dan dia juga selesa menunggangnya. Kami sangat gembira kerana dia meraih kemenangan MotoGP kedua," kata Razlan dalam kenyataan semalam.

Morbidelli yang bermula dari petak kedua, berjaya memimpin perlumbaan sehingga ke garisan penamat dengan catatan masa 41 minit dan 47.652 saat (s) selepas pelumba Jepun Takaaki Nakagami daripada pasukan LCR Honda Idemitsu, yang bermula di petak utama terbabit kemalangan.

Dua pelumba pasukan Suzuki Ecstar - Alex Rins serta Mir menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatatkan masa 2.205s dan 5.376s di belakang Morbidelli.

Sementara itu, Razlan berkata, kru teknikal pasukan akan membuat analisis mendalam mengenai prestasi seorang lagi pelumbanya, Fabio Quartararo yang hanya berjaya menduduki tempat kelapan dengan masa 42:20.372s.

"Kami perlu menilai dan mengkaji cara bagaimana kita dapat menjadikan prestasi dia lebih baik untuk tiga perlumbaan terakhir. Dia kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu kejuaraan dan masih terdapat peluang meraih banyak mata pada perlumbaan berikutnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya benar-benar tidak sabar untuk melihat bagaimana hasil baki tiga perlumbaan tahun ini (GP Eropah, GP Valencia dan GP Portugal yang berlangsung bulan depan)," katanya.

Quartararo kini kekal di tempat kedua dengan 123 mata - 14 mata di belakang Mir yang mengumpul 137 mata, diikuti pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales dengan 118 mata manakala Morbidelli melonjak dua anak tangga ke tempat keempat dengan 112 mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!