'Tidak perlulah sampai saya tampar muka pemain Juventus'
PENGENDALI penyandang juara Serie A, Juventus, Andrea Pirlo memberi amaran selepas menyaksikan pemain The Old Ladys melakar keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan Hellas Verona pada aksi liga di Stadium Allianz Turin.
Bianconeri kendalian Pirlo hanya memenangi satu perlawanan liga musim ini apabila menewaskan Sampdoria 3-0 manakala seri ketika berdepan AS Roma, Crotone dan Verona sebelum diberikan kemenangan 3-0 ketika menentang Napoli.
“Tidak perlulah sampai saya tampar muka setiap pemain Juventus supaya masing-masing kembali bangkit bermain penuh semangat serta bermaruah.
“Jika kita tengok pada separuh masa pertama kami tidak cukup agresif, sebaliknya hanya menunggu asakan pemain-pemain Verona, namun kami tetap mencipta beberapa peluang terbaik.
“Kami hanya kembali beraksi dengan baik dalam perlawanan setelah Verona memimpin perlawanan itulah realitinya dalam perlawanan ini,” kata Pirlo.
Pada perlawanan itu, Andrea Favilli terlebih dulu meletakkan pelawat di depan pada babak kedua menerusi gol minit ke-60 sebelum Dejan Kulusevski muncul wira menyelamatkan maruah tuan rumah dengan gol minit ke-78.
Menurutnya, ketika menentang kelab seperti Verona atau Atalanta kedua-dua pasukan itu gemar mengamalkan corak permainan satu lawan satu di keseluruhan padang.
“Jadi kami berusaha bagi mengelak situasi ini seperti berlaku pada separuh masa kedua kerana yang menyaksikan lawan memberikan tekanan tinggi.
“Kami tahu ini akan menjadi lebih sukar daripada di Kiev, kerana Verona mempunyai kekuatan ini. Kami bekerja dalam latihan di akhbar dan menangani situasi satu lawan satu,” katanya.
Keputusan seri selepas kedua-dua pasukan itu mengharungi lima perlawanan membolehkan Juventus mengumpul sembilan mata manakala Verona pula lapan mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!