Rakyat perlu bantuan dalam Belanjawan 2021

No Image Caption
A
A
A

PEMBENTANGAN Belanjawan 2021 dijangka menjadi tumpuan apabila Dewan Rakyat kembali bersidang selama 27 hari mulai 2 November ini.

Pada kebiasaannya, kerajaan memulakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangan mengenai gambaran belanjawan yang akan dilaksanakan kelak.

Dalam masa sama, terdapat permintaan-permintaan khusus daripada sektor perniagaan tertentu yang mencadangkan supaya kerajaan memberikan lebih banyak insentif kepada mereka.

Tidak terkecuali Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta supaya kerajaan memberikan bonus dan kenaikan gaji.

Bagaimanapun, persediaan untuk membentangkan belanjawan pada kali ini berada di luar daripada kebiasaan kerana negara berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan dari segi politik ekoran kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan masa depan kerajaan Perikatan Nasional.

Timbul pelbagai persoalan sama ada belanjawan pada kali ini akan dapat dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen disebabkan oleh pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Buat masa ini biarlah orang politik menyelesaikan masalah dan kemelut yang berlaku dalam kalangan mereka tetapi rakyat masih perlu meneruskan kehidupan.

Masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan ketika ancaman Covid-19 masih wujud.

Artikel Berkaitan:

Berbalik kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan nanti, sudah pasti peruntukan yang besar akan diberikan kepada sektor kesihatan yang sangat penting pada ketika ini.

Bagaimanapun, bantuan tunai kepada rakyat yang berpendapatan kecil perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja dapat membantu untuk kelangsungan hidup mereka tetapi memastikan ekonomi terus berjalan.

Sehubungan itu, kita amat berharap masalah politik yang melanda negara pada ketika ini dapat diselesaikan dengan segera kerana perbalahan yang berpanjangan amat merugikan kita semua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!