Opsyen Abah selamatkan kerajaan Perikatan Nasional
PADA saat rakyat Malaysia memanjatkan kesyukuran di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu yang menolak cadangan proklamasi darurat dikemukakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kelmarin, tumpuan kini terarah kepada nasib kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini.
Kenyataan dari Istana Negara itu juga difahami ahli politik dan rakyat negara ini dengan takrifan berbeza mengenai definisi sebenar mesej titah yang disampaikan Seri Paduka Baginda.
Ada kelompok rakyat menganggap titah Agong kelmarin membuktikan keyakinan Seri Paduka Baginda terhadap kerajaan Muhyiddin dalam menangani gelombang pandemik koronavirus (Covid-19), namun ada juga mentafsirkan titah itu sebagai isyarat kerajaan Muhyiddin sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen.
Rentetan peristiwa itu, bermula awal pagi semalam, pelbagai spekulasi tercetus apabila Muhyiddin didakwa bakal meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada bila-bila masa.
Berdasarkan maklumat sumber dalaman Barisan Nasional (BN), Sinar Harian difahamkan sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen BN, termasuk beberapa menteri Kabinet kerajaan PN, berpotensi mendesak Muhyiddin untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum Sidang Dewan Rakyat pada 2 November ini.
Desakan itu difahamkan dibuat kepimpinan UMNO dan BN atas faktor kekecewaan mereka terhadap tindakan Muhyiddin yang mengusulkan cadangan proklamasi darurat kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa merujuk kepada parti itu terlebih dahulu.
“UMNO merasakan mereka ditikam dari belakang Muhyiddin susulan cadangan darurat itu, sedangkan parti itu sanggup mengambil keputusan gencatan politik terhadap kerajaan PN sebelum ini demi keselamatan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kerajaan perpaduan
Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menegaskan, Muhyiddin perlu berjiwa besar untuk berundur sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dibuat pada bulan hadapan.
Menurutnya, Belanjawan 2021 itu perlu dibentangkan oleh Perdana Menteri dan kerajaan baharu memandangkan kerajaan sedia ada (PN) adalah goyah.
“Paling penting, kita tidak mahu ada manipulasi dalam inti pati Belanjawan 2021 yang disediakan kerajaan Muhyiddin yang akhirnya bermotifkan politik dan cuba memberi gula-gula kepada mana-mana ahli Parlimen atau rakyat dengan tawaran ‘luar biasa’,” katanya.
Ditanya bentuk kerajaan baharu yang bakal wujud selepas Muhyiddin mengundurkan diri, Isham tidak menolak kemungkinan kewujudan sebuah kerajaan perpaduan yang akan ditubuhkan melalui musyawarah ahli-ahli Parlimen berlainan parti.
“Setelah dikhianati Muhyiddin, pastinya UMNO menolak sebarang rundingan semula dengan Muhyiddin dan saya percaya kepimpinan parti sudah mengenal pasti calon Perdana Menteri sesuai bagi mengemudi kerajaan baharu kelak,” katanya.
Sejak semalam, nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi disebut-sebut sebagai pilihan sesetengah pemimpin UMNO untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu berpandangan, Muhyiddin boleh meletak jawatan secara bermaruah dengan mengadakan rundingan bersama Anwar bagi memastikan transisi penyerahan kuasa dilaksanakan secara aman.
Menurutnya, kemungkinan Muhyiddin untuk mengharungi sidang Parlimen tanpa sokongan majoriti ahli Parlimen adalah sangat besar kerana Presiden Bersatu itu pastinya tidak mahu dimalukan jika kalah dalam sesi pengundian meluluskan Belanjawan 2021.
“Langkah mencadangkan proklamasi darurat kepada Agong adalah satu kesilapan besar Muhyiddin, lebih-lebih lagi cadangan itu dikemukakan dua pemimpin Bersatu, (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan DAP kini cuba mengadakan rundingan dengan Muhyiddin untuk sekurang-kurangnya memberi sokongan bersyarat kepada kerajaan PN bagi membolehkan usul pembentangan Belanjawan 2021 diluluskan kelak.
Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan pemimpin Bersatu yang menyifatkan situasi politik ketika ini masih memihak kepada kerajaan PN, sekurang-kurangnya sehingga sesi pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen.
Derhaka
Sumber dalaman Bersatu berkata, pada saat Agong bertitah menuntut ahli-ahli politik berhenti bermain politik pada saat negara berdepan krisis kesihatan kritikal, mana-mana pemimpin atau parti yang masih berpolitik akan dianggap ‘menderhaka’ kepada Seri Paduka Baginda.
“Susulan titah Agong semalam (kelmarin), rakyat akan memerhati siapa ahli politik ‘petualang’ yang sanggup menderhakai titah Al-Sultan Abdullah demi memenuhi kepentingan politik mereka,” katanya.
Sumber Bersatu itu turut menjangkakan Muhyiddin akan menerima sokongan daripada ahli Parlimen daripada parti yang tidak dijangka iaitu DAP, Parti Warisan Sabah (Warisan) atau Muda Malaysia.
“Sekiranya UMNO bertegas menarik sokongan daripada kerajaan PN dan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri, tidak mustahil DAP pula akan menyokong Muhyiddin hanya dengan tujuan meluluskan usul Belanjawan 2021.
“Umum mengetahui DAP tidak boleh bekerjasama dengan UMNO dan parti itu mungkin melihat opsyen bekerjasama dengan kerajaan PN adalah kurang memudaratkan berbanding kerjasama dengan kerajaan baharu Anwar-UMNO,” katanya.
Kurangkan cengkaman
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sabah, Dr Romzi Ationg berpandangan Muhyiddin kini perlu kembali berunding dengan UMNO demi memastikan kerajaan PN terus kekal berkuasa.
Menurutnya, kaedah perundingan itu juga perlu bersifat ‘menang-menang’ dengan Muhyiddin harus berlapang dada untuk mengurangkan cengkaman Azmin dan Hamzah dalam kerajaan PN.
“Kaedah perundingan itu termasuklah memulangkan semula jawatan Azmin sebagai Menteri Kanan Kabinet kepada UMNO sebagai bukti komitmen Bersatu.
“Saya berpandangan selagi Azmin dan Hamzah menguasai Muhyiddin, selagi itu usaha perundingan kerajaan PN-UMNO akan sukar mencapai tahap menang-menang,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula mengesyorkan Muhyiddin mengorak satu bentuk inovasi politik berteraskan konsep dominasi politik Melayu Islam sebagaimana sejarah tertubuhnya UMNO pada tahun 1946.
“Pada saat genting ini, semua pemimpin parti Melayu perlu membuang ego dan bergandingan bahu membentuk konsep dominasi parti Melayu Islam demi membawa negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!